Unknown Unknown Author
Title: Seni membuat lukah
Author: Unknown
Rating 5 of 5 Des:
SEGAMAT 27 Feb. - Pelbagai kaedah tradisional digunakan masyarakat Melayu di kawasan pedalaman untuk menangkap ikan di sungai sep...

SEGAMAT 27 Feb. - Pelbagai kaedah tradisional digunakan masyarakat Melayu di kawasan pedalaman untuk menangkap ikan di sungai seperti jala, pancing, belat, tajur, mentobin dan lukah atau bubu.
Salah satu kaedah popular menangkap ikan yang masih digunakan secara meluas sehingga kini ialah lukah yang diperbuat daripada buluh dijalin menggunakan rotan atau akar.
Lukah mempunyai pelbagai saiz dan lazimnya berukuran lilit satu meter dan satu setengah meter panjang yang mempunyai satu atau dua injap sebagai pintu masuk dan dibenamkan di dasar sungai sebagai perangkap ikan.
Antara yang masih membuat lukah ialah Kastubi Sarden, 84, di Kampung Pogoh Dua di sini, sebagai mata pencarian dan hasil tangannya mendapat permintaan penduduk setempat.
"Kalau dulu boleh dikatakan hampir semua nelayan sungai boleh membuat lukah sekurang-kurangnya untuk kegunaan sendiri, tetapi kini tidak ramai yang tahu bagaimana membuat lukah.
"Mereka lebih suka membeli sahaja kerana kerja membuat lukah agak rumit dan memakan masa selain memerlukan tumpuan dan ketelitian," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Kastubi yang berpengalaman lebih 50 tahun membuat lukah mengakui prosesnya agak 'leceh' iaitu bermula dengan mencari buluh, rotan atau akar di hutan dan semua bahan asas itu perlu dikeringkan selama seminggu sebelum kerja dilakukan bagi mengelakkannya mengecut.
Menurutnya, buluh yang sering digunakan adalah jenis tilan, manakala rotan seperti rotan batu, semut, sega air, getah atau dahan selain kayu pokok kelulang untuk dijadikan bingkai dan akar mengkiri sebagai pengikat.
Namun, dia lebih gemar menggunakan akar mengkiri sebagai pengikat dan kayu kelulang untuk bingkai lukah kerana lebih tahan lama berbanding menggunakan rotan ketika direndam di sungai.
"Ikatan rotan lebih kemas berbanding menggunakan akar, namun saya lebih suka menggunakan akar kerana boleh bertahan sehingga setahun direndam berbanding hanya sekitar lima atau enam bulan menggunakan rotan.
"Kebanyakan pelanggan membeli lukah bukan untuk perhiasan, tetapi digunakan menangkap ikan. Jadi, saya lebih pentingkan ketahanan daripada kekemasan ikatannya," katanya.
Menurutnya, buluh yang dikeringkan akan dipotong sepanjang satu setengah meter dan dibelah selebar satu sentimeter serta diraut untuk membuang sembilu sebelum boleh dijalin pada rotan atau kayu yang dibentuk gelung bulat sebagai bingkai.
Rotan yang digunakan sebagai pengikat bilah buluh pada bingkai juga perlu dibelah halus selebar empat atau lima milimeter serta dibuang mempulurnya.
Selepas kerja tersebut siap, proses membuat badan lukah hampir siap dan kerja membuat injap yang berbentuk corong akan dilakukan sebelum dipasang pada badan lukah sebagai pintu masuk dan perangkap ikan.
"Kemudian barulah penutup belakang dan pintu kecil untuk mengeluarkan ikan dibuat sebelum dipasang dengan cara membenamkan lukah tersebut di dalam sungai sebagai perangkap ikan, katanya.
Kastubi memberitahu, dia hanya mampu menghasilkan kira-kira 10 lukah sebulan yang dijual dengan harga RM80 hingga RM150 sebuah bergantung kepada saiz berbanding kira-kira 20 lukah ketika zaman mudanya.
Selain faktor usia, kesukaran mendapatkan bekalan buluh dan rotan juga menyebabkannya tidak mampu membuat lukah dengan banyak bagi memenuhi permintaan pelangannya.
"Setakat ini ada pembeli yang datang dari Perak dan Perlis mendapatkan lukah yang saya buat selain pelanggan di negeri ini, Negeri Sembilan dan Pahang.
"Saya bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik dan mampu bekerja setiap hari membuat lukah bagi memenuhi permintaan yang banyak," katanya yang belajar membuat lukah daripada seorang lelaki yang 'menurunkan' ilmu itu lebih 50 tahun lalu.
Namun, dia kesal kerana golongan muda hari ini tidak berminat mempelajari ilmu membuat lukah termasuk anak-anaknya dan bimbang ilmu serta seni membuat lukah akan pupus suatu hari nanti.
Sehubungan itu, dia sudi berkongsi ilmu dengan mendidik generasi muda yang berminat untuk membuat lukah tersebut.
Kongsi Konten di 

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Johor/20130228/wj_01/Mencari-waris-seni-membuat-lukah#ixzz3f11XVBUj 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Advertisement

Posting Komentar

 
Top